Selamat Datang Ke kitabantu.com

Yayasan Maghfirah 14 November, 2022

Pada 1 jun 2021 , kitabantu.com secara rasminya membuka platform ini kepada ngo & institusi.

Dalam fasa yang sangat mencabar ini, ramai rakyat yang sangat terkesan dengan keadaan semasa. Mereka begitu mengharapkan bantuan dan sokongan bagi meneruskan kehidupan. Situasi yang menekan seperti ini banyak memberi kesan yang tidak baik kepada masa hadapan komuniti dan negara. Selain itu, walaupun banyak inisiatif yang telah di rangka oleh kerajaan untuk membantu golongan ini, namun kita terpaksa akui masih terdapat banyak kelopongan dan yang perlu dibantu dan disokong oleh badan-badan lain.

Dari situ, kita melihat, peranan NGO dan institusi sangat penting bagi menampung bahagian yang tidak boleh ditampung sepenuhnya oleh sektor kerajaan. Peranan yang dimainkan oleh pihak NGO dan Institusi ini boleh membantu meluaskan lagi capaian penerima manfaat terutama sekali daripada golongan B40. Tambahan pula, usaha yang dilakukan oleh pihak NGO dan institusi dalam membantu masyarakat bukan sahaja boleh mengurangkan beban kesusahan mereka, tetapi dalam masa yang sama boleh mengurangkan tekanan yang dihadapi dalam kehidupan mereka.

Sehubungan dengan itu, kewujudan platform kitabantu.com adalah untuk membantu pihak NGO dan Institusi lebih bergerak aktif dalam membantu masyarakat. Pihak kitabantu.com merasakan banyak NGO dan institusi yang begitu komit dan mempunyai idea yang baik dalam membantu masyarakat, namun terdapat halangan – halangan seperti tiada platform untuk mengumpul dana, ataupun tidak tahu bagaimana ingin menghebahkan kempen kepada umum.

Jadi kitabantu.com mengambil inisiatif bagi menggalakkan lagi usaha-usaha murni dari kalangan NGO dan institusi. Dengan lahirnya platform ini, pihak NGO dan institusi meletakkan projek mereka dan menjadi ‘one stop centre’ kepada para penderma untuk memilih mana – mana kempen yang mereka ingin sumbangkan.

Kami daripada pihak kitabantu.com mengajak semua NGO dan Institusi untuk mendaftar bersama kami. Dan semoga dengan usaha ini, pihak NGO dan institusi boleh membantu lebih ramai masyarakat yang masih dalam kesusahan.