KISAH TRAGIS PERPUSTAKAAN MUSLIM SEPANYOL

Pertubuhan Anjung Budi Selangor 21 February, 2022

"Di Dunia Muslim, Perpustakaan adalah sangat banyak dan bukunya melimpah ruah sehingga semuanya jauh mengatasi apa sahaja yang mampu dibuat oleh orang Kristian dan Barat. Pengaruh Muslim tersebar jauh sehingga Sepanyol, di mana perpustakaan dan tempat belajar dibina di Kordoba, Seville, Toledo dan bandar lain"

Itulah catatan sejarah oleh saintis maklumat Amerika Jesse Hauk Shera. Antara simbol keagungan al Andalus adalah perpustakaan Diraja yang mengandungi 400,000 jilid. Polisi peminjaman buku pula sangat bebas, anda boleh meminjam sehingga 200 buku pada satu masa.

Namun hakikatnya jika kita pergi ke Sepanyol, kita akan dapati sesuatu yang sangat menyedihkan.

Perpustakaan - perpustakaan ini tidak lagi ada.

Yang ada hanyalah istana kosong Alhambra yang dibuat tempat kutip tiket pelancong, dan 'Masjid' Cordoba yang diubah menjadi gereja, dengan menara azannya ditutup konkrit, menyembunyikan identiti Islamnya. Runtun hati melihat hiasan tiangnya, satunya yang kekal daripada DNA Islamnya.

Spanish Inquisition adalah antara titik terhitam dan terkejam dalam sejarah manusia. Mereka yang bukan beragama Kristian disiasat, diseksa, dibuang negeri, atau dipaksa menganut agama Kristian Katolik.

Jika anda mahu melihat kemuncak kreativiti manusia, anda mungkin kagum dengan muzium alat - alat seksaan yang dicipta pada Spanish Inquisition. Ngerinya tidak terbayang, setiap alat direka untuk memaksimakan kesakitan.

Raja - raja Katolik mahu menghapuskan semua jejak tinggalan Islam, maka mereka membakar ribuan buku - buku. Malah persembahan membakar al Quran dibuat secara terbuka. Penulisan dalam bahasa Ilmu dunia ketika itu, Arab, diharamkan.

Umat Islam yang bersembunyi di bawah tanah begitu terdesak untuk memelihara identiti dan budaya mereka, sehingga mereka menulis buku Arab dalam transliterasi Sepanyol. Bukan terjemahan, transliterasi, bahasa Arab tapi tulisan Sepanyol.

Pemenang anugerah Nobel 1903 dalam fizik, Pierre Curie mengatakan : "Kita memecahkan atom dengan hanya 30 buku yang ditinggalkan dari Andalusia. Jika separuh juta buku yang dibakar terselamat, kita mungkin telah mengembara antara galaksi di angkasa*"